Terjemah Nazham Munajah
Memperingati pemergian Dr. KH Muhibbuddin Waly al-Khaalidy rahimahullah, ambo nukilkan sebahagian kalam beliau mengenai ajaran thoriqah, khususnya Thoriqah Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah yang jadi pakaian beliau. Peri penting untuk kita renungi, istimewa kepada para pengamal thoriqah di mana nampaknya semakin ramai anak-anak muda yang tertarik untuk mengafiliasikan diri dengan thoriqat. Namun di situ ada dampak negatif, apabila ada yang hanyut dalam - so called "kerohanian" - sehingga melupakan dan melalaikan asas akidah dan syariat Islam. Sedangkan hal ini tidak pernah diajarkan oleh mana-mana thoriqat yang muktabar.Ajaran thoriqah tidak boleh sekali-kali dipisahkan dengan pegangan akidah yang murni dan amalan syariat yang kukuh. Malangnya ada segelintir golongan yang mengaku berthariqat, namun menyisihkan amalan syariat. Thoriqat yang diamalkan itu lebih cenderung kepada mengikut hawa nafsu dengan mengikut apa yang mudah walaupun dengan mengabaikan syariat....Allahu ... Allah. Ada pula yang mengaku mengikut thoriqat Naqsyabandi tetapi memperlekehkan syariat dan bermudah-mudah dengannya, sedangkan pengamal Thariqat Naqsyabandiyyah yang sebenar terkenal dengan amalan syariatnya yang ketat bahkan masyhur di sisi mereka untuk mengambil yang azimah dan meninggalkan yang rukhsah.
Thoriqah itu bukannya zikir semata-mata, ianya mempunyai dasar, rukun dan kewajipan yang dijadikan panduan untuk mendisiplinkan pengamalnya menjadi seorang mukmin muslim muhsin muttaqin yang mencapai kesempurnaan makrifatullah. Buya Muhibbuddin Walu menyatakan bahawa thoriqah itu punya 6 asas/dasar, 6 rukun dan 6 kewajipan, sebagai berikut:-
Thoriqah itu bukannya zikir semata-mata, ianya mempunyai dasar, rukun dan kewajipan yang dijadikan panduan untuk mendisiplinkan pengamalnya menjadi seorang mukmin muslim muhsin muttaqin yang mencapai kesempurnaan makrifatullah. Buya Muhibbuddin Walu menyatakan bahawa thoriqah itu punya 6 asas/dasar, 6 rukun dan 6 kewajipan, sebagai berikut:-
Dasar Thariqat
- Sentiasa bertaubat kepada Allah ta`ala dari segala dosa dan kesilapan, baik yang disengajakan atau tidak;
- `Uzlah, yakni membatasi pergaulan hanya dengan orang - orang yang bertakwa kepada Allah ta`ala;
- Zuhud, yakni tidak menempatkan dunia ini dalam hatinya;
- Takwa, yakni melaksanakan segala perintah Allah ta`ala dan menjauhi segala laranganNya hatta yang makruh.
- Qana`ah, yakni tidak tamak dan panjang angan-angan;
- Taslim, yakni reda dengan qadha` dan qadar Allah ta`ala.
Rukun Thariqat
- Sentiasa meningkatkan ilmu - ilmu agama;
- Sentiasa bersikap lapang hati (al-hilm) dan berpandangan luas untuk mencapai ketenteraman hati dan istiqamah dalam melaksanakan segala amal ibadah menurut syariat Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah;
- Bersabar atas taat, bersabar atas musibah dan bersabar dari maksiat;
- Reda atas ketentuan Allah ta`ala setelah berusaha mencari kebaikan yang dikehendaki;
- Ikhlas, yakni mengharapkan hanya kasih sayang Allah dan redaNya dalam mendekatkan diri kepadaNya melalui ketaatan dan ibadah;
- Berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Kewajipan Thariqat
- Tidak lupa menyebut atau berzikir kepada Allah ta`ala;
- Meninggalkan hawa nafsu, yakni segala keinginan yang tidak bermanfaat di sisi agama;
- Meninggalkan dunia yang sifatnya mubazir dan mengganggu hubungan kita dengan Allah dan segala ajaran agamaNya;
- Sentiasa mengikut dan mematuhi segala ajaran agama dan mendahulukan kepentingan agama atas yang lain;
- Berbuat baik terhadap umat manusia dan makhluk lain;
- Mengerjakan kebaikan-kebaikan dalam pengertian yang luas.
Inilah ajaran yang beliau simpulkan dari berbagai sumber Thoriqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah, antaranya dari kitab"Jaami`ul Ushul" karya Syaikh Ahmad Dhiya-uddin an-Naqsyabandi al-Mujaddidi rahimahullah.
Juga di sini sebagai penutup, ambo nukilkan terjemahan Bahasa Melayu Nazam Munajah karangan Syaikh Ismail al-Khaalidy. Nazam yang dinamakan sebagai "Ubat Hati" berisikan tawassul dengan para awliya` dalam silsilah Thoriqat Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah. Ianya dikarang oleh Syaikh Ismail al-Khaalidy dalam tahun 1270H, ianya kemudian diterjemah dalam Bahasa Aceh oleh Syaikh Muda Muhammad Waly al-Khaalidy pada tahun 1370H dan akhirnya diterjemah dengan sedikit penambahan oleh KH Muhibbuddin Waly al-Khaalidy pada hari Khamis tanggal 23 Rabi`ul Akhir 1415H. Mudah-mudahan ada keberkatan yang diperolehi darinya buat kita dan sekalian umat Islam.
Terjemahan Munajat "Ubat Hati"
بسم الله الرحمن الرحيم
Mohon kami kepadaMu, wahai Allah
Dengan berkat rahsia Dzat, wahai Ghautsah
Dengan Jibril lagi berkat Nabi yang benar
Penghulu `alam sekalian Abu Bakar
Dengan berkat Salman Farisi yang mulia
Berkat Qasim berkat Ja'far yang arif raya
Berkat Abu Yazid raja para awliya`
Thaifur nama Abul Hasan masyhur raya
Berkat Abu `Ali wali di Farmadi
Berkat Yusuf Hamdan bangsa tolong madadi
Abdul Khaliq bangsa Ghajduwan baik benar
Arif bangsa Riyukiri masyhur tenar
Berkat Mahmud sudah itu berkat `Ali
Berkat Muhammad Samasi bangsa lagi wali
Berkat Kulal murid beliau Bahauddin
Imam dalam thariqat ini dengan yakin
Ala-iddin menantunya bagi puterinya
Berkat Ya'kub indah sangat pribadinya
`Ubaidillah syaikh yang banyak rahsia Tuhan
Ahrar masyhur di thariqat laqab gelaran
Syaikh yang zahid nama Muhammad wahai ikhwan
Dunia akhirat lantas Darwisy kemudian
Khawajakiy sesudah itu Syaikh Muhammad
Pemimpin kita mujaddid raya Syaikh Ahmad
Berkat Ma'sum kemudian Saifuddin
Sesudah itu Nur Muhammad syaikh yang yakin
Jani Janaan matahari terang sekali
Berkat qutub Syaikh `Abdullah megah tinggi
Maulana Khalid imam kita megah tenar
Berkat khalifah lagi saleh mulia benar
Syaikh `Abdullah turunan sayyid yang mulia
Quthubul Wujud jarang banding di dunia
Berkat mursyid lagi kamil di negeri Makkah
Cara rahsia irsyadnya itu lalu megah
Habis umur waktu duduk muraqabah
Sedang menunggu pemberian dari Allah
Beliau sedang menghadap Ka'bah yang mulia
Hampir Subuh hari `Arafah masyhur raya
Subuh Jum`at haji akbar beliau pindah
Dari dunia fana ini ke rahmatullah
Habis umur di rumahnya Jabal Qubais
Dimuliakan oleh Tuhan serta taqdis
Roh beliau sucikanlah wahai Rabbi
Terangkanlah kuburnya bernilai tinggi
Dengan berkat Syaikh Ismail guru kami
Yang menuntun thariqat ini kepada kami
Saudaranya yang mulia lapang dada
Sulaiman Qarimy mursyid megah dengan nyata
Dua khalifah dari dua mursyid tadi
Abu Bakar dengan `Umar mengikuti
Kemudian jadi khalifah `Utsman dan `Ali
Setiap mursyid mendapat izin megah jali
Dengan berkat Syaikh mulia yang terpuji
Itulah mursyid Sulaiman Zuhdi sabar tinggi
Quthubul Irsyad yang masyhur wahai rakan
Utsman Fauzi `alim `abid kepada Tuhan
Syaikh yang `arif dibangsakan kepada Shamad
Yusuf Zahid terkenal fana dalam Ahad
Mursyid kami yang terkenal wahai akhi
Beliau masyhur di negeri Kampar Abdul Ghani
Syaikh yang kamil lagi halim `inayah Rabbi
Faham yang halus mursyid kami Muhammad Wali
Angkatkanlah martabat beliau wahai Rahman
Tetapkanlah syurga tinggi kediaman
Dua khalifah yang diangkat dua maulana
Muhibbuddin Waly Idrus dua purnama
Sesudah itu `Adnan dengan Qamaruddin
Abuya wafat setelah diangkat jadi mursyidin
Syaikh Jailani Abdul Hamid kemudian
Tidak lama sudah itu Teungku Hasan
Wasiat isyarah dilakukan buah hati
Mursyid kami Kiyai Muhibbuddin Waly
Sesudah itu Teungku Jamaluddin Waly
Jadi mursyid serta Teuku Usman Fauzy
Telah sepakat atas ini semua mursyid
Doktor Muhibbuddin Waly hanya tanfidz
Gunung hakikat begitu tinggi naikkan kami
Laksana Kau tuntun kami ke thariqat ini
Minuman cinta begitu bersih minumkan kami
Agar hampir yang sempurna berikan kami
Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Matikan kami dalam iman semuanya
Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Khususkan kami mendapat sukses dalam syurga
Berikan rahmat serta salam selama-lama
Atas Nabi turunan Hasyim Ahmad nama
Atas sahabat dan pengikut keluarga
Shalawat salam tiada putus selamanya
Ismail Khalidy nama nazhim munajah ini
Hitungilah tarikh nazham huruf ini
Penterjemah Bahasa Aceh nazham ini
Syaikh murabbi harap ikhlas Tuhan beri
Nama beliau Syaikh Haji Muhammad Waly
Mohon penuh dari Allah rahsia tinggi
Penterjemah ke Bahasa Melayu tinggi
Professor kami Doktor Muhibbuddin Waly
Kedua beliau husnul khitam hai saudara
Disampaikan oleh Allah cita-cita
و صلى الله على سيدنا محمد و على آله و صحبه اجمعين
و الحمد لله رب العالمين
آمين
0 komentar:
Posting Komentar